PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

July 2023

PN sokong tindakan JAIS siasat Fahmi berucap di masjid – Hamzah

in Politik by
PN sokong tindakan JAIS siasat Fahmi berucap di masjid – Hamzah

SABAK BERNAM – Perikatan Nasional (PN) menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjalankan siasatan berhubung gambar tular Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berucap di sebuah masjid di Rawang pada Ahad. Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sesiapa sahaja tanpa mengira parti politik yang melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan JAIS harus diambil tindakan. ”Saya yakin JAIS melakukan sesuatu yang adil dan rakyat akan memahami agensi ini (tegas) kepada mana-mana parti (yang melakukan kesalahan untuk diambil tindakan),” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Himpunan Jentera Sungai Air Tawar di Markas Tarbiah Pas di Bagan Nakhoda Omar di sini pada malam Isnin. Hamzah berkata, JAIS sebagai sebuah organisasi Islam di negeri ini seharusnya dihormati dan umat Islam terutama pemimpin dinasihatkan mematuhi undang-undang, peraturan serta garis panduan yang sudah ditetapkan ”Siapa sahaja yang salah dan melanggar perintah (dan peraturan) yang telah dibuat, maka tindakan harus diambil. ”Jangan biarkan satu pihak sahaja yang boleh lakukan (kesalahan), (manakala pihak lain) tidak boleh,” ujar beliau. Beliau memberitahu, sekiranya tindakan adil dilakukan sudah tentu rakyat dapat menilai dan percaya kepada sesebuah agensi tersebut. Menurut Hamzah, agensi kerajaan lain juga seharusnya mengikut contoh JAIS yang menjalankan siasatan secara adil tanpa berat sebelah. ”Kita tidak mahu agensi kerajaan lain pilih kasih dan tidak ada keadilan terutama melibatkan pemimpin PN,” jelas beliau. Ujarnya, pemimpin yang melanggar ketetapan JAIS juga disifatkan ingkar terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang setiap ahli politik yang tiada tauliah berceramah di masjid atau surau. Mengulas mengenai kenyataan Fahmi yang menjelaskan ucapannya dalam sebuah masjid itu hanya berkisar mengenai isu kumpulan The 1975 tanpa menyentuh hal politik, Hamzah berkata, perbuatan itu tetap menjadi kesalahan. ”Bercakap mengenai kumpulan The 1975 dalam surau atau masjid lagi berat (kesalahannya),” jelas beliau. Sinar Harian pada Isnin melaporkan, JAIS mengesahkan menerima aduan berhubung gambar Fahmi berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada Ahad. Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama. Fahmi dalam kenyataannya di Facebook menjelaskan ucapannya dalam sebuah masjid di Kuang, Rawang hanya berkisar mengenai isu kumpulan The 1975 tanpa menyentuh hal politik atau berkempen untuk PRN.
Source: SH Politik

[featured-video-plus]

'Saya perlu kuat untuk teruskan hidup'

in Semasa by
'Saya perlu kuat untuk teruskan hidup'

“Saya perlu berjuang dan kuat untuk teruskan hidup,” Itu luahan bekas jaguh skuasy negara, Mohamad Kenneth Low Abdullah selepas diuji dengan masalah kesihatan yang menyebabkan tidak dapat meneruskan kerjaya dalam bidang kejurulatihan sejak lima tahun lalu. Menurut Mohamad Kenneth, beliau yang sebelum ini pernah menjadi jurulatih beberapa pasukan negeri termasuk pasukan kebangsaan terpaksa berhenti kerja kerana masalah kesihatan disyaki strok yang membataskan untuk dia terlibat aktif. Selepas tidak bergelar jurulatih, beliau terpaksa mencari kerja lain termasuk pernah menjadi tukang cuci di sebuah kondominium dan kini di sebuah pusat sukan di Damansara menyebabkan kisahnya tular di media sosial. ”Saya bukan mahu meraih simpati dan saya juga tidak minta penyakit ini. Saya tahu saya tidak boleh patah semangat dan saya seorang pejuang. ”Saya tidak kisah bekerja seperti ini asalkan dapat mencari sumber pendapatan dan menampung kehidupan. Cuma, masalah kesihatan ini memberikan kesan kepada saya kerana kerap menjejaskan ingatan dan tidak dapat buat kerja yang berat,” katanya kepada Sukan Sinar ketika di temui di tempat kerjanya di Glo Damansara pada Isnin. Menceritakan mengenai penyakit yang dialaminya, Mohamad Kenneth berkata, doktor tidak dapat mengenal pasti penyakit sebenar yang dialaminya cuma mengesyaki beliau mengalami strok. ”Semuanya bermula apabila saya demam seingat saya sebelum pandemik Covid-19. Saya tidak larat untuk bangun daripada katil dan dimasukkan ke hospital. ”Tetapi, mereka sahkan saya mengalami masalah koordinasi dan dibenarkan keluar selepas dua minggu. Selepas itu, saya masih jadi jurulatih dengan pasukan Kuala Lumpur tetap memberikan peluang kepada saya. ”Cuma, saya tidak boleh nak teruskan kerana apabila berada dalam court, masalah saraf menyebabkan saya mengalami masalah keseimbangan badan dan kerap nak jatuh. ”Namun, selepas itu, hospital juga sahkan saya sudah tidak menghadapi apa-apa masalah kesihatan dan tidak ada lagi temujanji hospital. Saya pun tidak tahu sama ada penyakit saya ini sudah sembuh atau tidak,” katanya yang kini hidup sendirian selepas isteri dan anak lelakinya berhijrah ke Sabah 10 tahun lalu. Beliau berkata, pihak Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) telah mengatur pemeriksaan kesihatan di hospital pada Jumaat ini untuk melihat tahap sebenar kesihatannya. ”Saya cuma nak tahu apa masalah kesihatan saya kerana sehingga sekarang tak ada laporan apa pun. Apabila dah tahu penyakit saya, mungkin akan ada rawatan yang sesuai dan saya boleh kembali bekerja. ”Saya juga mahu ucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin termasuk YAKEB dan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) yang banyak memberikan bantuan,” katanya. Mohamad Kenneth bukanlah nama asing dalam sukan skuasy menerusi pelbagai pencapaian termasuk berada di ranking keempat di Asia dan ke-38 di dunia. Selepas bersara, SRAM menawarkan kontrak untuknya menjadi jurulatih sekitar 2003 dan 2004. Dia kemudiannya berhenti sebagai jurulatih kebangsaan apabila ditawarkan menjadi jurulatih Kuala Lumpur sebelum berhijrah ke Bangkok, Thailand dan kembali menjadi jurulatih KL dan Pahang selepas itu.
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Manchester United, Adidas perkukuh kerjasama

in Semasa by
Manchester United, Adidas perkukuh kerjasama

PENCABAR kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Manchester United mengukuhkan imej kelab itu apabila memperbaharui perkongsian strategik pintar kelab bola sepak itu dengan pembekal kit rasmi Adidas selama 10 tahun dan jaminan tunai minimum 900 juta pound. Perjanjian baharu menjelang musim Liga Perdana Inggeris 2023/24 bermula bulan depan, itu juga meneruskan jalinan perkongsian strategik sehingga Jun 2035. Juara Inggeris sebanyak 20 kali itu akan kembali ke Liga Juara-Juara tahun ini, bulan lalu telah menaikkan ramalan tahunan mereka. Menurut laporan tahunan terbaru syarikat itu, perjanjian asal dengan Adidas mengaitkan sebahagian daripada pembayaran tahunan dengan penyertaan kelab dalam Liga Juara-Juara. Kegagalan The Red Devils untuk bermain dalam Liga Juara-Juara untuk dua musim berturut-turut, mengurangkan bayaran tahunannya sebanyak 30 peratus daripada jumlah yang dikenakan, menurut perjanjian itu. Dalam pada itu, Manchester United masih dalam perbincangan untuk dijual selepas pemilik Amerika, keluarga Glazer, melancarkan proses jualan rasmi lewat tahun lalu.
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

DAP terus berusaha raih sokongan rakyat

in Semasa by
DAP terus berusaha raih sokongan rakyat

BAHANG pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri semakin ‘panas’. PRN kali ini juga menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dalam pilihan raya buat kali pertama dalam sejarah. Sementara, DAP bertanding 47 kerusi iaitu dua di Kedah, 19 di Pulau Pinang, 15 Selangor dan 11 di Negeri Sembilan akan bekerja keras bagi mempertahankan kerusi yang disandang. Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk dakwaan, serangan dan sebagainya, ia tidak mematahkan semangat dan DAP tidak berputus asa untuk terus mendapatkan sokongan rakyat termasuk pengundi Melayu. Baca wawancara penuh di Sinar Premium.
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Politik stabil, Malaysia semakin dikenali di pentas dunia – PM Anwar

in Semasa by
Politik stabil, Malaysia semakin dikenali di pentas dunia – PM Anwar

KUALA PILAH – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nama Malaysia kini semakin baik serta dikenali di pentas dunia berikutan tatakelola dan mempunyai dasar serta kestabilan politik yang kukuh sekali gus menarik pelaburan luar. Anwar berkata, perkara itu antara lain dibuktikan apabila Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc Elon Musk mahu berbincang dengan beliau sendiri bagi menyatakan komitmennya untuk membuka ibu pejabat syarikat berkenaan di Cyberjaya tahun ini. Beliau berkata, ini merupakan satu penghormatan yang amat besar kepada Malaysia susulan dasar ekonomi, termasuk Ekonomi Madani, yang diamalkan oleh negara selain kepimpinan telus Kerajaan Perpaduan. ”Politik stabil untuk apa, saya tegaskan untuk bangunkan ekonomi dan tarik pelabur, dulu pelabur tak datang, kita tengok pembesar luar negara jarang datang ke Malaysia, sekarang minggu lepas sahaja Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, dah 49 tahun beliau tak datang, kalau datang pun sebab persidangan antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan di sini pada malam Isnin. Perdana Menteri berkata, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, yang dijadual mengadakan lawatan negara Khamis ini bagi membincangkan peluang pelaburan, turut menzahirkan azam baginda untuk meningkatkan lagi hubungan Brunei dan Malaysia ke tahap paling baik dalam sejarah. Dalam perkembangan lain, Anwar mengecam tindakan individu tertentu menggunakan titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang disunting bagi tujuan politik dan berkata beliau tidak akan bersimpati dengan mana-mana pihak yang tidak menghormati institusi diraja. ”Kita ada Perlembagaan (yang) kita patuh, jangan buat pasal… saya tidak simpati pada orang yang cuba mengingkari kuasa raja-raja,” katanya. Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut memaklumkan bahawa beliau akan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan gaji dan pencen penjawat awam minggu depan. ”Tetapi menurut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, ia akan ambil masa mungkin enam bulan paling minimum, lambat sikit jadi sementara itu, bagilah (sedikit imbuhan) kepada mereka, sebab itu saya luluskan sementara RM300 untuk penjawat awam yang gaji kurang daripada RM100,000 setahun, campur RM100 pemberian e-dompet, jadi RM400. ”Yang pencen dapat RM200 campur RM100, jadi RM300 termasuk veteran tentera yang tidak berpencen pun kita bagi RM200… tapi ini hanyalah langkah sementara kita buat dalam keadaan kekangan wang yang ada,” katanya. – Bernama.
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Tukar 16 calon PRN demi masa depan Kelantan – Mohd Amar

in Semasa by
Tukar 16 calon PRN demi masa depan Kelantan – Mohd Amar

TANAH MERAH – Kerajaan negeri melaksanakan satu lonjakan besar dengan menukar 16 calon ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sempena pilihan raya negeri (PRN). Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Abdullah berkata, perubahan itu merupakan sebahagian taktikal dan strategi yang dilakukan untuk perubahan masa depan Kelantan. Beliau turut memuji kecemerlangan ADUN sebelum ini yang sudah melakukan usaha terbaik di kawasan mereka. ”Mereka yang tidak bertanding bukan tidak bagus tetapi pertukaran dibuat kerana kita mahu melakukan satu lonjakan untuk masa depan Kelantan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Pelancaran Program Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Kelantan Maju Rakyat Sejahtera (Manifesto PRU Dewan Negeri Kelantan ke-15) pada Isnin. Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor. Beliau memberitahu, kerajaan menyedari cabaran lebih besar pada masa akan datang dengan melaksanakan perubahan terbesar dalam politik Kelantan. Tambah beliau, 51.1 peratus calon baharu termasuk mengetengahkan calon Orang Kurang Upaya (OKU) kerana menunjukkan kesungguhan dalam parti. ”Calon yang diperkenalkan juga melibatkan golongan dalam pelbagai bidang profesional,” katanya. Dalam ceramah sama, Mohd Amar berkata, Kelantan tidak mahu menjadi negeri industri sebaliknya akan dikenali sebagai jelapang makanan negara. ”Kelantan akan melaksanakan lebih banyak perubahan dengan cetusan idea dan politik baharu,” katanya.
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Kelantan tetap sedia bas percuma kepada pelajar IPT balik mengundi

in Semasa by
Kelantan tetap sedia bas percuma kepada pelajar IPT balik mengundi

TANAH MERAH – Kerajaan negeri tetap meneruskan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini sebagai kemudahan untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini. Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, secara umum perkhidmatan berkenaan dilihat seolah-olah untuk membeli undi. Bagaimanapun, beliau menafikan sangkaan berkenaan dan ia merupakan satu janji kerajaan negeri kepada rakyat. ”Ada pelajar IPT yang tidak mempunyai kewangan mencukupi tetapi pada masa sama mahu menjalankan tanggungjawab mengundi. ”Jadi kita membuat keputusan menyediakan perkhidmatan bas percuma,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ceramah dan Pelancaran Program Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Kelantan Maju Rakyat Sejahtera (Manifesto PRU Dewan Negeri Kelantan ke-15) pada Isnin. Beliau pada masa sama mahu pihak terbabit memberi penjelasan mengenai isu berkenaan bagi memudahkan pelaksanaannya. Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki sebelum ini dilaporkan memberitahu, pengundi perlu tahu hak sebagai pengundi dan bertanggungjawab untuk pulang mengundi tanpa berharap menerima sebarang ‘pertolongan’ daripada calon bertanding. Azam turut memaklumkan, pemberian wang kononnya sedekah, bayaran tiket bas atau memberi ole-ole ketika musim pilihan raya merupakan suatu kesalahan dan menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Selain itu Ahmad berkata, pihak berkenaan perlu ada panduan berkaitan pelaksanaan yang dilakukan itu sama ada berbentuk rasuah atau sebaliknya. Pada 6 Julai lalu, kerajaan negeri mengumumkan menyediakan perkhidmatan bas kepada pelajar IPT untuk pulang mengundi pada PRN pertengahan Ogos. Keputusan berkenaan dibuat melalui Persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 21 Jun lalu bagi memudahkan pelajar di luar Kelantan pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

1 2 3 738
Kembali UTAMA