Pelantikan Speaker dari Pas tamatkan isu dalaman PN di Langkawi

in Politik by

Muhammad Sanusi (kanan) ketika menyarungkan jubah Speaker DUN Kedah kepada Zubir ketika majlis pelantikan di DUN Kedah pada Isnin.

ALOR SETAR – Pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang baharu, Zubir Ahmad menamatkan pertikaian dalaman Perikatan Nasional (PN) Langkawi yang tercetus ketika pemilihan calon pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelantikan Yang Dipertua Pas Langkawi itu dilihat bertepatan bagi menggantikan penyandang sebelum ini, Datuk Juhari Bulat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar krisis yang timbul sebelum ini diselesaikan secara harmoni.

Menurutnya, pelantikan wakil Pas sebagai Speaker DUN Kedah dan wakil Bersatu sebagai wakil rakyat di DUN Ayer Hangat, Langkawi merupakan penyelesaian terbaik.

“Itulah penyelesaian kepada kemelut itu, sudah selesai, alhamdulillah. Penyelesaiannya (secara) harmoni, tak ada isu berbangkit lagi. Semua benda atas dunia ini kecuali mati, yang lain semua boleh selesai,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis angkat sumpah Speaker, Timbalan Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan berlaku pergolakan dalaman PN di Langkawi apabila kerusi DUN Ayer Hangat ditawarkan kepada Bersatu, yang sebelum itu dikatakan akan diberikan kepada calon Pas untuk ditandingi pada PRN.

Susulan itu, Pas Langkawi mendesak kerusi Ayer Hangat diberikan kepada Zubir yang dilihat layak mewakili parti itu.

Protes terhadap isu berkenaan juga mengakibatkan dua pemimpin Pas Langkawi bertindak mengisytiharkan bertanding sebagai calon Bebas pada PRN Ogos lalu.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yakin dengan kemampuan Zubir untuk memainkan peranan sebagai Speaker DUN Kedah.

“Beliau orang Langkawi sudah lama dalam politik. Memiliki pengalaman banyak, saya tak rasa dia akan menghadapi masalah untuk jalankan tugas sebagai Speaker. Saya juga yakin dengan kemampuan Timbalan Speaker, Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang-Bersatu).

“Saya harap sidang dewan sepanjang penggal berlangsung dalam harmoni dan efisien,” ulasnya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, Ketua Pembangkang DUN Kedah belum diumumkan oleh ADUN pembangkang dan kemungkinan dilantik pada sidang November depan sempena pembentangan Bajet 2024.

“Kita ada tiga ADUN pembangkang. Saya harap pembangkang akan mainkan peranan mereka dengan baik sebagai semak imbang kepada kerajaan.

“Semua ahli-ahli DUN boleh berbahas apa sahaja. Mereka bebas menyuarakan pandangan kepada kerajaan atau bahaskan dasar-dasar kerajaan tanpa halangan,” katanya lagi.