DUN lulus Rang Undang-undang Ombudsman Sarawak 2023

in Edisi by

DUN Sarawak pada Isnin meluluskan Rang Undang-undang Ombudsman Sarawak 2023, yang akan membenarkan orang ramai melaporkan salah tadbiran oleh agensi perkhidmatan awam negeri.

KUCHING – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin meluluskan Rang Undang-undang Ombudsman Sarawak 2023, yang akan membenarkan orang ramai melaporkan salah tadbiran oleh agensi perkhidmatan awam negeri.

Rang Undang-undang yang dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan itu diluluskan sebulat suara.

Dalam ucapan penggulungan persidangan DUN di sini pada Isnin, beliau berkata, laporan aktiviti ombudsman dan siasatan akan disiarkan sepenuhnya di DUN termasuk sebarang penemuan, syor dan pendapat ombudsman.

“Satu Jawatankuasa Pilihan Khas boleh dilantik atas usul yang dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat untuk menimbangkan sebarang perkara yang berbangkit daripada laporan itu. Tidak seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), laporan yang dibuat oleh Ombudsman mempunyai kuasa undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri juga tidak ketinggalan, turut tertakluk kepada siasatan serta penelitian Ombudsman.

“Mengenai hak untuk berdiam diri dan kuasa bagi membuat penahanan… prosedur-prosedur itu adalah bagi menyiasat kesalahan di bawah rang undang-undang, ia bukan siasatan aduan,” katanya sambil menambah 22 ADUN telah menyertai perbahasan berkenaannya.

Rang Undang-undang Ombudsman itu bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam agensi-agensi kerajaan, justeru memastikan wujudnya elemen semak dan imbang di samping membolehkan kerajaan menambah baik sistem dan prosedur penyampaian awamnya.

Semasa membentangkan rang undang-undang berkenaan, Awang Tengah berkata, rangka kerja undang-undang itu diperlukan bagi Ombudsman Sarawak melaksanakan tugas dan kuasa mereka dengan cekap dalam menyelia agensi perkhidmatan awam negeri, yang merangkumi perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun negeri, dan GLC.

“Tujuan rang undang-undang ini adalah untuk memberi Ombudsman, antara lain, kuasa untuk menerima, menyiasat, dan menyelesaikan aduan termasuk menolak sebarang aduan yang tidak berasas dan remeh serta mengesyorkan tindakan pembetulan atau pencegahan yang perlu diambil oleh agensi perkhidmatan awam negeri,” katanya.

Menurutnya, rang undang-undang itu telah mencadangkan kesalahan seperti sengaja memberi maklumat palsu, gagal hadir sebaik menerima notis dan dengan sengaja menghalang, atau menentang ombudsman, atau mana-mana orang dalam melaksanakan kuasa mereka.

“Hukuman yang boleh dikenakan jika sabit kesalahan ialah denda antara RM10,000 hingga RM50,000 dan penjara enam bulan hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, ombudsman akan diketuai oleh seorang Ketua Ombudsman dan seorang Timbalan Ketua Ombudsman, bersama tiga hingga lima anggota Ombudsman lain yang memiliki kepakaran atau pengalaman berkaitan untuk memastikan keberkesanannya.

“Pelantikan ombudsman ini akan dibuat oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan mereka akan mengangkat sumpah jawatan untuk tempoh maksimum tiga tahun, dengan kemungkinan dilantik semula.

“Pejabat Ombudsman Sarawak akan diuruskan oleh seorang Ketua Pentadbir, yang dilantik oleh menteri daripada kalangan anggota perkhidmatan awam negeri dan beliau akan dibantu oleh sejumlah pegawai,” tambahnya.

Beliau berkata, bahawa kakitangan ombudsman dan orang lain yang bertindak bagi pihak mereka adalah terlindung daripada prosiding sivil dan jenayah dalam melaksanakan tugas rasmi mereka. – Bernama