NTC 2023: Murid Berkeperluan Khas dominasi tiga kategori

in Nasional by

Pasukan SKP Excellent dari Sekolah Kebangsaan Parit Perak menjuarai pertandingan National Tinkering Challenge 2023 bagi kategori murid berkeperluan khas pada Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Akhir Kebangsaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Isnin. – Foto Bernama

PUTRAJAYA – Tiga murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Parit, Perak yang merupakan Murid Berkeperluan Khas, menangis kegembiraan sambil berpelukan sebaik diumum sebagai juara Pertandingan National Tinkering Challenge (NTC) 2023 bagi kategori Murid Berkeperluan Khas menerusi projek Pet-Smart.

Asuki Iman Mohd Faizal, Muhammad Aqil Khalish Mohd Khadzri dan Muhammad Darwisy Hafidh Mohd Hafiszul bukan sahaja membawa pulang wang tunai RM2,500 berserta kit pendidikan malah turut mendominasi kategori Pembentang Terbaik dan Video Popular, masing-masing menawarkan hadiah RM300 serta kit pendidikan.

Guru pengiring Nurul Wahida Musa berkata, ketiga-tiga pelajar itu walaupun mempunyai masalah pembelajaran atau disleksia, namun mereka tetap menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap projek hasil kreativiti mereka sendiri itu.

”Ini idea murid sendiri, yang memaklumkan kepada saya. Jadi saya sebagai guru memang akan bantu sepenuhnya. Projek ini merupakan bekas makanan haiwan yang apabila kosong, lampu akan menyala dan buzzer berbunyi bagi menandakan sudah tiba masa untuk bekas diisi semula,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Nurul Wahida berkata, projek yang dijalankan tidak memerlukan pendekatan rumit dan murid berkenaan memahami bagaimana projek berfungsi, justeru, mudah untuk mereka menyiapkan projek itu sekali gus membuat pembentangan dengan jayanya.

NTC yang mempertandingkan tiga kategori iaitu Murid Berkeperluan Khas, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah dianjurkan sempena Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Akhir Kebangsaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pertandingan yang dianjurkan buat kali keempat itu merupakan satu daripada inisiatif Pusat Sains Negara (PSN) agar masyarakat terutamanya pelajar sekolah teruja untuk melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan tinkering iaitu mereka cipta, berkreativiti dan berinovasi berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). – Bernama