PORTAL SINARHARIAN

Author

webadmin

webadmin has 126074 articles published.

Cuepacs harap diskaun cukai, gaji naik RM300

in Semasa by
Cuepacs harap diskaun cukai, gaji naik RM300

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengharapkan kerajaan mempertimbangkan diskaun cukai pendapatan, kenaikan gaji, bonus dan meningkatkan jumlah pengiraan pencen dalam Belanjawan 2024. Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pemberian diskaun cukai pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus kepada semua penjawat awam adalah antara perkara yang dinanti-nantikan. Menurutnya, buat masa ini, bayaran potongan cukai bulanan (PCB) oleh penjawat awam adalah pendahuluan cukai tahun semasa yang mana akan dilaporkan pada Mac tahun berikutnya. “Pemberian diskaun ini sekurang-kurangnya akan memberikan sedikit kelegaan kepada penjawat awam apabila gaji bersih yang dinikmati mereka sedikit meningkat,” katanya kepada Sinar Harian. Tambah Adnan, sempena Belanjawan 2024 juga, pihaknya mengharapkan kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan gaji secara tambahan sebanyak RM300 kepada semua penjawat awam. Jelasnya, kenaikan gaji itu dapat membantu penjawat awam menghadapi peningkatan kos sara hidup semasa. “Cuepecs berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas komitmen kerajaan untuk memperbaiki kualiti kehidupan penjawat awam melalui kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam melibatkan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam perkhidmatan awam. “Sementara menunggu sistem saraan tersebut dimuktamadkan, kita memohon kerajaan menaikkan gaji. “Ia juga boleh meningkatkan gaji bersih (take-home pay) serta memberi kelegaan kepada penjawat awam sementara menunggu tempoh sistem saraan baharu dilaksanakan pada 2025,” jelasnya. Pada masa sama, kongres berkenaan berharap pertimbangan bonus minimum satu bulan setengah gaji kepada penjawat awam. Katanya, kali terakhir penjawat awam menerima bonus satu setengah bulan gaji atau minimum RM1,500 adalah pada 2012 dan selepas itu hanya diberikan bantuan khas kewangan. “Kerajaan juga wajar untuk meningkatkan jumlah pengiraan pencen kepada jumlah tahun perkhidmatan sehingga 35 tahun bagi memaksimumkan nilai yang bakal diterima apabila mereka bersara kelak. “Pelaksanaan pengiraan baharu ini mampu meningkatkan kualiti hidup pesara kerajaan yang telah memberi khidmat terbaik mereka sepanjang bertugas dalam perkhidmatan awam,” ujar beliau.
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Emas bersejarah Qabil Ambak, Rosenstolz ceriakan kontinjen negara

in Semasa by
Emas bersejarah Qabil Ambak, Rosenstolz ceriakan kontinjen negara

EMAS bersejarah Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil dan kudanya, Rosenstolz menerusi acara dressage individu, menceriakan Kontinjen Malaysia pada hari kelima Sukan Asia. Mohd Qabil, 43, yang membuat debut Sukan Asia pada edisi 1998 Bangkok, akhirnya menamatkan penantian emas sulung Malaysia dalam ekuestrian, dengan mengumpul keseluruhan 75.780 mata Pusat Ekuestrian Tonglu, sekali gus melengkapkan koleksi pingat selepas perak edisi 2018 di Jakarta-Palembang, serta gangsa Guangzhou 2010 dan Doha 2006. Sementara itu, atlet berbasikal trek kebangsaan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang hadir tanpa jaguh negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang cedera, mengalas tanggungjawab itu dengan baik untuk merangkul gangsa acara pecut lelaki, menewaskan pelumba tuan rumah Chenxi Xeu 2-0. Pelumba berusia 27 tahun itu, mempunyai potensi untuk mempertahankan emas, yang dimenangi Mohd Azizulhasni pada edisi lepas, setelah beraksi cemerlang untuk menyingkirkan Shinji Nakano dari Jepun pada suku akhir. Namun, kesilapannya memasuki lorong lawan menyebabkan separuh akhir pertama yang dimenanginya dibatalkan, menyaksikan pelumba Jepun, Kaiya Ota muncul juara acara itu selepas mengatasi pelumba China tersebut pada final. Kem skuasy juga menghadirkan khabar gembira, apabila kedua-dua skuad lelaki dan wanita mara ke separuh akhir selaku juara kumpulan, untuk masing-masing bertemu India dan Korea Selatan esok. Pasukan hoki lelaki meneruskan rentak cemerlang dengan membelasah Indonesia 9-2 pada aksi Kumpulan B, selepas membenam Thailand 9-0 dan Oman 11-1. Sementara itu, skuad badminton yang hadir ke Hangzhou dengan sasaran satu emas menerusi acara berpasukan lelaki, menghampakan harapan penyokong apabila tewas 1-3 kepada Korea Selatan pada pusingan 16 terakhir, yang juga aksi pembukaan mereka. Pemain perseorangan Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong serta beregu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mempamerkan aksi merisaukan, apabila gagal menyumbangkan mata, dengan hanya bekas juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencatatkan kemenangan. Bagaimanapun, kem badminton negara mampu mengubah nasib mereka apabila turun beraksi dalam acara individu (perseorangan dan beregu), bermula Isnin ini. Walaupun cuaca di Hangzhou mula panas dengan suhu mencecah lebih 30 darjah Celsius berbanding sekitar 22 darjah Celsius pada minggu lepas, Kontinjen Malaysia dilihat masih belum panas. Malaysia menduduki tempat ke-14 pada carta pingat selepas meraih dua butir emas, dua perak dan lima gangsa setakat malam ini, manakala China terus gah dengan kutipan 90-51-26, termasuk 14 emas pada hari ini sahaja. Kontinjen negara berpontensi untuk meningkatkan kutipan pingat menerusi sepak takraw, apabila turun beraksi menentang juara bertahan Thailand dalam acara regu berpasukan, selain berbasikal trek dengan Muhammad Shah Firdaus beraksi dalam keirin lelaki. Tumpuan juga terarah ke Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, apabila olahraga membuka tirai dengan jaguh pecut Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Umar Osman, masing-masing turun beraksi dalam pusingan pertama acara 100m dan 400m lelaki. – Bernama
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Kes bunuh peniaga buah, polis tahan 13 warga asing

in Semasa by
Kes bunuh peniaga buah, polis tahan 13 warga asing

KUALA LUMPUR – Hanya dalam tempoh 48 jam, polis berjaya menyelesaikan kes bunuh melibatkan seorang penjual buah warga tempatan di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman OUG, di sini Selasa lepas, dengan penahanan 13 lelaki warga asing semalam dan Khamis. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisoner Amihizam Abdul Syukor berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dalam beberapa serbuan. ”Bertindak atas maklumat, polis berjaya menangkap suspek utama kes pada pukul 11 pagi tadi serta membuat rampasan barang kes. Polis berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh 48 jam,” katanya dalam kenyataan di sini malam Khamis. Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman hingga 4 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pada masa sama, beliau berharap agar orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan dan meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes itu untuk menyalurkannya ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222. Dalam kejadian pada 7.40 malam Selasa lepas, polis menerima maklumat tentang kes bunuh melibatkan seorang peniaga buah warga tempatan berusia 80 tahun di Taman OUG dan berikutan itu, empat lelaki telah ditahan pada jam 2.30 pagi di lokasi kejadian. – Bernama
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Agensi kerajaan guna beras import untuk tambah bekalan beras tempatan – Mat Sabu

in Semasa by
Agensi kerajaan guna beras import untuk tambah bekalan beras tempatan – Mat Sabu

BENTONG – Semua agensi kerajaan termasuk asrama sekolah akan menggunakan beras import sebagai langkah menambah bekalan beras tempatan di pasaran sekali gus menampung permintaan pengguna awam yang tinggi ketika ini. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini kerana agensi kerajaan seperti kem tentera, hospital dan asrama sekolah menggunakan bekalan beras tempatan secara pukal. Menurutnya, penambahan subsidi diperlukan bagi membolehkan agensi-agensi terlibat mula menggunakan beras import. ”Kita mahu beras putih yang berharga RM26 sekampit ini diperbanyakkan dengan kita minta agensi-agensi kerajaan, seperti asrama (sekolah), hospital, tentera dan sebagainya gunakan beras import. ”Kerajaan (perlu) beri subsidi atas pembelian agensi kerajaan, maka puluhan ribu kampit (beras) akan berada di pasaran,” katanya ketika berucap pada Progam ‘Sembang Santai Perpaduan’ di Bilik Gerakan Simpang Pelangai, di sini pada Khamis. Mengulas lanjut, beliau yang ditemui pemberita selepas itu berkata, perkara tersebut akan dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan pada Isnin sebelum ia dimuktamadkan. Bagaimanapun, jumlah sebenar pertambahan bekalan beras tempatan kekal belum dapat dipastikan. ”Agensi kerajaan banyak guna beras tempatan, tapi bila kita guna beras tempatan untuk orang awam, maka kerajaan beli beras import dengan harga tinggi. ”Tapi tak banyak mana antara RM32 hingga RM35,” katanya. Sementara itu, beliau meminta orang awam untuk tidak bertindak secara melulu dengan membuat serbuan ke kilang beras susulan dakwaan pengilang enggan menjual beras tempatan pada harga ditetapkan. ”Tiada bukti, saya minta orang awam jangan buat serbuan, kita ada pegawai, kalau ada, kita laporkan kepada KPDN dan pihak polis,” katanya.
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Trend ringgit menyusut berulang, perlu dipantau rapi – Noor Azlan

in Semasa by
Trend ringgit menyusut berulang, perlu dipantau rapi – Noor Azlan

SHAH ALAM – Penyusutan nilai ringgit kepada RM4.71 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini memerlukan pemantauan yang rapi oleh kerajaan. Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, trend kemerosotan ringgit yang pernah berlaku sebelum ini kini berulang. “Trend menyusut Ringgit Malaysia (RM) berulang. Perlu dipantau rapi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis. Sinar Harian pada Rabu melaporkan, ringgit menyusut nilai berbanding dolar AS apabila sentimen menggalakkan terus menyokong mata wang AS. Pada jam 9.15 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.7050/7095 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa 4.6875/6915. Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, pasaran percaya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat masih akan menaikkan kadar faedah. Untuk rekod, ringgit ditutup pada paras terendah baharu sepanjang masa berbanding dolar AS pada November 2022 berikutan sentimen lemah dalam persekitaran dolar AS yang kukuh. Mata wang tempatan ketika itu merosot kepada 4.7425/7460 berbanding dolar AS daripada 4.7360/7400.
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

MPPK cadang elaun latihan mengajar dimasukkan dalam Belanjawan 2024

in Semasa by
MPPK cadang elaun latihan mengajar dimasukkan dalam Belanjawan 2024

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mencadangkan kepada kerajaan untuk memasukkan Elaun Latihan Mengajar dalam Belanjawan 2024, bagi mengatasi isu berkaitan kebajikan mahasiswa bakal guru yang telah berlanjutan terlalu lama. Setiausaha Kerja MPPK, Nik Ahmad Nuri Nik Ismail dalam kenyataan pada Khamis turut mencadangkan, elaun tersebut diselaraskan dengan jumlah minimum sebanyak RM800 sebulan, selain peruntukan bayaran elaun dilakukan secara tetap setiap tahun. Cadangan berkenaan berikutan elaun sedia ada yang diberikan tidak menyeluruh kepada seluruh negeri dan jumlah terlalu rendah, berbanding mahasiswa yang menjalani latihan industri di institusi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). ”Segelintir guru pelatih yang menjalani latihan mengajar juga merupakan mahasiswa, yang terdiri dalam kalangan B40, miskin tegar dan asnaf yang sangat memerlukan, lebih-lebih lagi kos sara hidup yang semakin melonjak tinggi dan membebankan mahasiswa. ”MPPK berharap agar kebajikan mahasiswa bakal guru turut terjaga dan tidak diabaikan menerusi cadangan yang diberikan,” katanya. – Bernama
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Terlepas emas jika kemenangan separuh akhir pertama tak batal – Shah Firdaus

in Semasa by
Terlepas emas jika kemenangan separuh akhir pertama tak batal – Shah Firdaus

PELUMBA berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom percaya beliau boleh mencabar pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022 jika kemenangan terhadap wakil tuan rumah, Zhou Yu, pada saringan pertama separuh akhir acara pecut individu tidak dibatalkan. Pada saingan di Velodrom Chunán Jeshou, di sini kemenangan pelumba berusia 27 tahun itu dibatalkan oleh komisar perlumbaan selepas Shah Firdaus memasuki lorong lawannya itu semasa pusingan akhir. Pada saringan separuh akhir kedua, pelumba negara itu melakukan kesilapan apabila membenarkan Zhou Yu mendahului dengan melakukan kayuhan bertenaga untuk sampai ke garisan penamat dan mengesahkan tempat ke final. ”Saya agak sedih kerana tenaga amat baik sekali tetapi tersingkir selepas memenangi saringan pertama. Saya tidak tahu apa sebabnya…mereka kata terdapat sedikit sentuhan badan. ”Tetapi saya rasa itu perkara biasa…anda boleh dilihat trek itu agak sukar untuk dikendalikan. Semua pelumba melakukan perkara yang sama tetapi tiada apa kita boleh lakukan. Saya boleh mencabar pingat emas dan merangkulnya dengan mudah,” katanya dalam temu bual selepas saingan tersebut. Shah Firdaus, yang memenangi gangsa acara pecut berpasukan pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia, berkata beliau memutuskan untuk tidak bersungguh-sungguh mengejar Zhou You pada saringan kedua separuh akhir kerana mahu ‘menyimpan tenaga untuk penentuan pingat gangsa. Pada penentuan pingat gangsa, Shah Fridaus beraksi cemerlang untuk menewaskan pelumba tuan rumah, Xue Chenxi, 2-0, untuk meraih pingat sulungnya pada temasya Sukan Asia. Pingat emas dalam acara itu dimenangi oleh Otai Kaiya dari Jepun yang menumpas Zhou Yu dalam dua pusingan di pentas akhir. Sementara itu, pengurus pasukan skuad negara, Mohd Izham Mohamad, mengakui Shah Firdaus secara tidak sengaja memasuki laluan Zhou Yu pada pusingan akhir. ”Trek di sini agak keliru sedikit. Shah Firdaus tersilap masuk ke laluan pelumba China itu kerana agak sukar untuk kawal basikal ketika kelajuan tinggi. ”Ikut peraturan, kita tidak boleh masuk ke lorong lawan selepas mula pecutan, kalau tidak memang peluang tinggi untuk mara ke final,” katanya. Esok, Shah Firdaus sekali lagi berpeluang untuk merangkul pingat apabila turun dalam acara keirin bersama-sama Muhammad Fadhli Zonis yang mengambil alih tempat yang ditinggalkan Datuk Azizulhasni Awang. Azizulhasni, penyandang pingat emas acara pecut individu, terpaksa menarik diri daripada temasya itu selepas mengalami kecederaan susulan kemalangan ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan, dua minggu lalu. – Bernama
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Skuad badminton lelaki bermula dengan aksi menghampakan

in Semasa by
Skuad badminton lelaki bermula dengan aksi menghampakan

PENANTIAN peminat badminton tempatan untuk menyaksikan barisan pemain kesayangan turun beraksi pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, dibalas dengan keputusan mengecewakan di Gimnasium Binjiang di sini, malam Khamis. Ini selepas Malaysia disingkirkan Korea Selatan dalam acara berpasukan lelaki seawal pusingan pertama, apabila tewas 1-3. Perseorangan utama, Lee Zii Jia yang menghuni ranking ke-16 dunia memulakan langkah sumbang skuad negara, apabila tewas kepada pemain nombor 47 dunia Jeon Hyeok Jin 14-21, 21-14, 18-21. Pujian bagaimanapun harus diberikan kepada pasangan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang mempamerkan kelas tersendiri untuk menjinakkan Seo Seung Jae-Kang Min Hyuk 21-17, 21-9, sekali gus menghadiahkan mata pertama negara. Rentak itu gagal diteruskan seorang lagi perseorangan negara Ng Tze Yong yang berada dalam kelompok 20 terbaik dunia, apabila tumpas mengejut di tangan pemain ranking ke-119 Lee Yun Gyu 11-21, 16-21. Harapan Malaysia untuk mara ke pusingan seterusnya berkecai, selepas gandingan Kim Won Ho-Na Sung Seung, tidak berdepan masalah mengatasi satu lagi pasangan beregu negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 16-21, 18-21, sekali gus mengesahkan kemaraan Korea Selatan ke peringkat suku akhir. Korea Selatan akan membuat perhitungan menentang Indonesia di suku akhir. Sementara itu, biarpun Malaysia terkandas di pusingan pertama, Aaron-Wooi Yik masing-masing gembira selepas melakar kemenangan, dalam penampilan sulung di temasya Sukan Asia. ”Walaupun banyak kejohanan yang kami sudah lalui, tetapi ini merupakan salah satu kejohanan utama bagi kami. Kami harap debut ini menjadi debut yang baik buat kami,” kata Aaron. Kem badminton negara akan meneruskan cabaran apabila masing-masing akan turun dalam acara bukan berpasukan, yang dijadual bermula Isnin depan. – Bernama
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Dua rakan lemas ketika mandi Air Terjun Tasik Puteri

in Semasa by
Dua rakan lemas ketika mandi Air Terjun Tasik Puteri

DUNGUN – Dua rakan ditemukan lemas selepas hilang dibawa arus ketika mandi-manda di kawasan Air Terjun Tasik Puteri, Bukit Besi, di sini pada petang Khamis. Mangsa, Muhammad Khalili Hasnol dan Mohamad Qamarul Ariffin Mohd Ramly masing-masing berusia 20 tahun ditemukan jam 8.38 malam pada jarak 3 meter dari tebing dengan kedalaman lima meter. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Penolong Penguasa Bomba Shariffuddin Ali berkata, mayat mangsa yang merupakan pelajar jurusan Diploma Teknologi Maklumat Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. ”Kita menggerakkan seramai 12 anggota selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.47 petang pada Khamis. “Usaha pencarian dilakukan di kawasan tepi air terjun dan membuat selaman dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai,” katanya. Difahamkan, mangsa bersama tujuh rakan yang lain menghabiskan cuti sempena Maulidur Rasul dengan mandi-manda di kawasan berkenaan. Menurut rakan mangsa, Muhammad Fadli Baharudin, 20, sebelum kejadian, mereka menaiki motosikal dari rumah sewa di Kampung Alor Tempoyak, di sini sebelum tiba di kawasan air terjun itu kira-kira jam 5.15 petang. “Kejadian berlaku sangat pantas. Tak sampai 20 minit kami semua turun mandi. Ketika kejadian, saya nampak Muhammad Qamarul dan Muhammad Khalili terkapai-kapai dan tenggelam timbul seolah-olah meminta tolong. ”Seorang rakan kami cuba berenang ke arah mereka, namun gagal untuk selamatkan mereka,” katanya. Menurut Muhammad Fadli, mereka cuba meminta bantuan penduduk kampung dan menggunakan pelampung untuk menyelamatkan dua rakannya namun tidak berhasil.
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Dua lagi staf hospital ditahan berkait rasuah urus mayat

in Semasa by
Dua lagi staf hospital ditahan berkait rasuah urus mayat

SEREMBAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan dua lagi kakitangan perubatan awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3,500 sebagai balasan menawarkan kerja-kerja pengurusan mayat bukan Islam di sebuah hospital di negeri ini. Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an dan 40-an itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang di pejabat SPRM Negeri Sembilan pada Khamis. ”Mereka dipercayai menerima rasuah daripada dua syarikat sama antara tahun 2021 dan 2022 yang melibatkan kira-kira 12 transaksi bank berjumlah RM3,500,” katanya. Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. Katanya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Jenayah pada Jumaat. Isnin lalu, media melaporkan SPRM menahan empat kakitangan perubatan awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100 hingga RM600 dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM11,000 daripada dua syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan mayat di antara tahun 2022 hingga 2023.
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

1 2 3 12,608
Kembali UTAMA