PORTAL SINARHARIAN

Category archive

Tragedi

Seorang dikhuatiri lemas, tiga selamat

in Tragedi by

KOTA KINABALU – Tiga individu terselamat manakala seorang lagi dikhuatiri lemas selepas bot yang mereka naiki dipukul ombak dan terbalik dalam kejadian di muara Sungai Bolong, Tuaran pagi tadi.

Mangsa, Manji Bakal, 50, bersama tiga lagi rakannya keluar memancing awal pagi tadi tetapi bot yang mereka naiki karam sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada jam 9.23 pagi tadi.

Pengarah APMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan selepas Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) menerima laporan itu.

“SAR bermula pada jam 10.30 pagi merangkumi keluasan lima batu nautika persegi dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan karam.

“Operasi pencarian dilakukan bersama bot ronda daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.

Terdahulu, Mohd Rosli turut mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa peka pada keadaan laut dan cuaca semasa sekiranya melakukan aktiviti di laut.

“Pastikan keluar berkumpulan dan memakai jaket keselamatan serta alat keselamatan lain seperti wisel dan lampu suluh sebagai persediaan jika berlaku kecemasan di laut.

“Sebarang kejadian kecemasan harus dilaporkan kepada agensi keselamatan di kawasan masing-masing atau lapor terus ke Pusat Operasi Maritim Sabah di talian 088-387774 dan talian kecemasan 999,” katanya.

‘Anak saya masih di kawasan tempat dia jatuh’

in Tragedi by

TEMERLOH – ‘Naluri seorang ibu kuat merasakan anak saya masih berada di kawasan berhampiran.’

Rohaya Ismail, 56, memberitahu, dia merasakan anaknya, Loqman Hamka, 20, tidak jauh dari kawasan kejadian selepas anak bongsu dari empat beradik itu dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang di Kampung Kuala Kujan, Jalan Triang, di sini pada Jumaat lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh dalam Sungai Pahang

Operasi cari Loqman diteruskan

Sukarelawan bantu cari Loqman

Selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) anaknya telah memasuki hari ke-8 hari ini, dia berharap operasi pencarian akan diteruskan lagi di kawasan berhampiran oleh pihak yang melakukan operasi SAR khususnya pasukan menyelam.

“Saya dan bapanya tidak henti-henti berdoa dan melakukan solat hajat setiap hari semoga jasadnya ditemukan.

“Naluri saya kuat menyatakan dia berada di sana dan tidak jauh dari tempat dia jatuh,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong tinjau operasi SAR

Semalam, SAR turut disertai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencemar duli menyertai operasi tersebut.

Dalam pada itu, bapa mangsa Hamka Abu Bakar,62, berkata, meskipun reda dengan takdir Illahi, dia amat berharap jasad anaknya dapat ditemukan.

Dia yang juga bekas anggota polis berharap doa berterusan daripada keluarga dan orang ramai dikabulkan agar jasad anaknya ditemukan.

“Loqman seorang anak yang baik, rajin dan dari zaman sekolah lagi dia telah banyak membantu saya di sangkar ikan ini,” katanya lagi.

Peneroka maut dihempap jengkaut

in Tragedi by

KUANTAN – Seorang peneroka maut selepas jengkaut yang dikendalikannya terbalik semasa melalui jalan berbukit di sebuah ladang Felda Keratong 7, Muadzam Shah kira-kira 120 kilometer dari sini semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin, Asistan Superintenden Azari Miskon berkata, kejadian yang berlaku pada jam 5.30 petang itu menyebabkan mangsa, Abd Hadi Ramlan, 65, maut di tempat kejadian akibat dihempap jentera tersebut.

“Mangsa yang merupakan pemilik jentera itu difahamkan ke ladang bagi membantu mengeluarkan sebuah lori yang tersekat di ladang kelapa sawit tersebut.

“Bagaimanapun, jentera itu dikatakan hilang kawalan semasa melalui jalan yang tidak rata lalu terbalik ke sebelah kiri dan menghempap mangsa,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Azari berkata, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Budak tercampak keluar kereta, jatuh jejambat

in Tragedi by

KUALA LUMPUR – Video seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun terjatuh dari jejambat di Jalan Pahang, di sini Jumaat lalu tular di media sosial sejak semalam.

Klip video yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) itu mula tersebar menerusi laman sosial Facebook.

Video berdurasi 33 saat itu menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan terjatuh di atas sebuah kereta yang diparkir di hadapan sebuah pusat pameran.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner, Zulkefly Yahya ketika dihubungi hari ini memaklumkan kanak-kanak itu cedera kerana tercampak keluar dari kereta dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menghala ke Jalan Tun Razak dari Gombak di sini.

Zulkefly berkata, dalam kejadian pada jam 5.40 petang itu mangsa bersama bapanya menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dipercayai terbabas akibat hujan lebat lalu melanggar tembok kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, kanak kanak itu tercampak dari cermin sisi belakang kanan dan terjatuh ke bawah dari jejambat.

“Mangsa kemudian terjatuh di atas kereta yang parkir di hadapan sebuah pusat pameran di Jalan Pahang di sini,” katanya.

Zulkefly memaklumkan mangsa telah di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan lanjut.

Kanak-kanak OKU ditemukan lemas

in Tragedi by

ALOR SETAR – Kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Sedim di Kampung Bikan Atas Labu Besar, Kulim petang semalam ditemukan lemas pada jam 7.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, mayat mangsa, Irdina Aleesya Zamri, 8, berjaya ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa naik ke atas tebing sungai oleh anggota JBPM dan kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

“Ibu mangsa menyedari mangsa tiada di rumah pada jam 6 petang semalam sebelum keluar mencari mangsa bersama beberapa ahli keluarga yang lain di sekitar kawasan rumah sehingga ke Sungai Sedim yang terletak kurang 100 meter dari rumah mereka.

“Ibu mangsa telah menjumpai selipar dan tuala milik mangsa di kawasan tebing sungai berkenaan dan mengesyaki anaknya telah jatuh ke dalam sungai. Polis telah menerima laporan kejadian pada jam 6.40 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, anggotanya tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 7.10 petang selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.30 petang.

Menurutnya, operasi mencari mangsa telah dijalankan di permukaan air di kawasan tebing sungai sehingga jam 1 pagi sebelum ia ditangguhkan.

“Operasi dijalankan semula pagi ini dan mangsa ditemukan pada jam 7.50 pagi,” katanya.

Jari manis patah cincin tersangkut pada pintu lori

in Tragedi by

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori patah jari manis selepas cincin yang dipakainya tersangkut pada pemegang pintu semasa turun dari kenderaan itu di sebuah premis di bandar raya ini hari ini.

Kulit jari lelaki yang berusia 23 tahun itu turut tersiat dan koyak sebelum dia datang sendiri ke wad kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk meminta bantuan menanggalkan cincin tersebut.

Bagaimanapun mangsa terpaksa menahan kesakitan hampir 30 minit selepas pihak hospital tidak berjaya mengeluarkan cincin tersebut.

Pihak pengurusan HSI kemudian menghubungi Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Negeri Johor pada jam 3.39 petang sebelum 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau dikejarkan ke wad itu.

Komander Operasinya, Penguasa Bomba Kanan II Khairul Azhar Abdul Aziz berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengeluarkan cincin itu dengan menggunakan satu unit peralatan khas.

“Jari manis lelaki berkenaan cedera dan operasi tamat pada jam 4.34 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Warga emas maut terperosok bawah treler

in Tragedi by

TANGKAK – Seorang warga emas meninggal dunia apabila kereta Proton Wira yang dipandunya merempuh sebuah treler di Jalan Kesang di sini hari ini.

Dalam kejadian berhampiran sebuah stesen minyak pada jam 6.14 pagi itu, kereta dipandu Eu [email protected] Ann Hui, 72, terperosok di bawah kenderaan berat tersebut hingga membuatkannya terperangkap.

Seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dengan dua jentera Fire Rescue Team (FRT), dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Zamri Ayub berkata, pihaknya mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan yang hadir di lokasi kemalangan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Pemandu treler, Mohamad Anuar Timan, 33, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Operasi tamat pada jam 7.26 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Remaja maut ketika berkonvoi

in Tragedi by

KULAI – Seorang remaja maut dalam kemalangan melibatkan sembilan motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 35.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 10 malam itu, remaja berusia 19 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR hilang kawalan sebelum melanggar belakang kereta Toyota Camry yang sedang bergerak di lorong kiri.

Difahamkan, mangsa berkonvoi melibatkan lebih 20 buah motosikal dari Johor Bahru menuju ke arah Sedenak.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, lapan motosikal lain yang berada di belakang gagal sebelum mengelak dan melanggar antara satu sama lain.

“Remaja lelaki tersebut cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang hadir memberikan rawatan awal di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk bedah siasat.

Menurutnya, polis sedang mengesan beberapa lagi mangsa yang terlibat dan sebahagiannya dirawat di hospital sama.

Jelas beliau, ketika kemalangan kumpulan penunggang motosikal tersebut bukan berlumba.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Siti Aishah sempat jumpa ibu ayah sebelum meninggal dunia

in Tragedi by

SHAH ALAM – Seorang penuntut Malaysia di Alexandria University, Mesir sempat bertemu ibu dan ayahnya sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.30 pagi waktu tempatan semalam di Hospital Iskandariah.

Siti Aishah Mohd Dani, 20, yang merupakan tahun ketiga jurusan perubatan pergigian sebelum itu menerima rawatan selama sembilan hari selepas disahkan menghidap meningitis iaitu jangkitan kuman dalam otak.

Abangnya, Muhammad Afiq, 29, berkata, Siti Aishah yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik sebelum itu disyaki dijangkiti Covid-19 namun selepas menjalani kuarantin dan beberapa siri ujian, adiknya disahkan negatif.

Namun, katanya, Siti Aishah kemudiannya mengadu sakit dada dan pening kepala sebelum rakan menghantarnya ke hospital.

Menurutnya, ayah mereka, Mohd Dani Md Ali, 59, dan ibu, Nabiha Omar, 56, ditemani dua adik lelakinya berlepas ke Kaherah, Mesir pada awal pagi 26 November lalu dan sempat bertemu dengan Siti Aishah pada sebelah petang.

“Doktor memaklumkan pada pagi Khamis, Siti Aishah berdepan dengan serangan jantung tetapi kembali stabil selepas diberikan rawatan kecemasan.

“Walaupun tidak sedar, adik saya tetap kuat mungkin untuk menunggu ketibaan ibu dan ayah. Alhamdulillah ibu dan ayah sempat jumpa walaupun sebelum itu doktor memaklumkan tiada harapan lagi buatnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Muhammad Afiq berkata, jenazah Siti Aishah dikebumikan di Perkuburan El Manara, Iskandariah Mesir.

Bercerita mengenai peribadi satu-satunya adik perempuan dalam keluarganya, Muhammad Afiq berkata, Siti Aishah merupakan seorang pelajar yang cemerlang.

“Di universiti juga, dia merupakan antara pelajar yang sentiasa mendapat keputusan cemerlang. Dia juga merupakan adik kesayangan kami kerana dialah satu-satunya adik perempuan yang kami ada.

“Kami reda dengan apa yang berlaku. Saya bersyukur, ibu dan ayah dapat bertemu dengan Siti Aishah sebelum dia dikebumikan,” katanya.

Mayat reput terdampar di tepi pantai

in Tragedi by

MARANG – Pengunjung pantai Pulau Kekabu di sini gempar apabila menemui satu mayat dalam keadaan reput yang terdampar di pantai berkenaan petang tadi.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, mayat dipercayai lelaki itu ditemui orang awam kira-kira jam 3.30 petang sebelum orang awam menghubungi pihak berkuasa.

Menurutnya, mayat tanpa identiti tersebut ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan sebahagian anggota badannya sudah tiada.

“Berdasarkan keadaan fizikal mayat, ia dipercayai bukan warganegara Malaysia dan telah dihanyutkan arus sebelum terdampar di pantai berkenaan.

“Kita sudah lakukan siasatan awal. Setakat ini tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mohd Zain berkata, mayat berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk bedah siasat.

1 2 3 8
Kembali UTAMA