PORTAL SINARHARIAN

Category archive

Tragedi - page 2

Dua maut kemalangan lori rempuh belakang treler

in Tragedi by

TANGKAK – Seorang pemandu dan kelindan lori maut selepas kenderaan tiga tan yang dinaiki bersama seorang lagi rakan sekerja merempuh belakang sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 158.7 Lebuhraya Plus arah utara berdekatan Bukit Gambir, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam 7.10 pagi, pemandu lori, L Gunaseelan, 31, dan kelindannya meninggal dunia manakala seorang lagi rakan sekerja cedera.

Pemandu treler, Muhamad Idrus Anuar, 35, pula dilaporkan selamat.

Seramai 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dibantu BBP Tangkak dengan dua jentera Fire Rescue Team (FRT) dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasi dari BBP Bukit Gambir, Penguasa Bomba Nurashid Mamat berkata, setiba di lokasi pihaknya mendapati lori berkenaan melanggar belakang treler jenis Scania yang diparkir di tepi lebuh raya.

“Pemeriksaan mendapati tiga mangsa cedera dan tersepit dalam lori berkenaan sebelum kesemua mereka dikeluarkan.

“Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan yang membuat pemeriksaan mengesahkan pemandu dan seorang kelindan lori telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, seorang lagi lelaki iaitu rakan sekerja mereka cedera parah dan diserahkan kepada ambulans sebelum dihantar ke Hospital Tangkak.

Beliau berkata, operasi tersebut tamat pada jam 8.49 pagi.

Dua maut, dua cedera dalam nahas di LPT

in Tragedi by

KUANTAN – Dua lelaki maut selepas kereta yang dinaiki terbabas sebelum dirempuh sebuah kenderaan lain di kilometer 220.3 Lebuhraya Pantai Timur malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu, penumpang kereta Proton Wira, Mohamad Syukri Mat Yusof, 27, dan warga Indonesia Suryano, 30, yang kedua-duanya mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan itu, Muhammad Firdaus Jalani, 18, dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan, di sini telah hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri sebelum terbabas ke lorong kanan.

“Susulan itu, kereta jenis Toyota Yaris yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak dan melanggar Proton Wira berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, akibat perlanggaran itu, Muhammad Firdaus mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan penumpang Toyota Yaris, Mohammad Syafiq Azmi, 22, yang cedera ringan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk menerima rawatan.

“Bagaimanapun, Mohamad Sofian Ab Wahab, 22, yang memandu kereta Toyota Yaris tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Bernama

Operator kilang maut dirempuh pemandu mabuk

in Tragedi by

KAJANG – Seorang operator kilang maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk dalam kejadian di Kilometer 4 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi, kereta Mercedes Benz yang dipandu lelaki berusia 41 tahun itu dalam perjalanan dari pekan Kajang menghala ke Plaza Tol Lekas.

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol itu melanggar dari arah belakang sebuah motosikal jenis Modenas dinaiki seorang lelaki berusia 37 tahun.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menurut saksi yang melihat kejadian memaklumkan kereta itu dipandu laju dalam keadaan ‘zig zag’ selepas melepasi Plaza Tol Lekas sebelum merempuh motosikal mangsa.

Katanya, ujian alkohol dilakukan terhadap pemandu itu mendapati kandungan alkohol melebihi paras dibenarkan.

“Soal siasat pemandu terbabit mengaku ada minum minuman keras sebelum kejadian,” katanya.

Tambahnya, pemandu terbabit yang tidak mengalami sebarang kecederaan ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Penunggang motosikal maut dihempap pokok

in Tragedi by

BERUAS – Seorang penunggang motosikal maut apabila dihempap sebatang pokok kelapa sawit yang tumbang di Lorong Wawasan 2, Kampung Bakar Bata, Ayer Tawar di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 pagi itu, mangsa lelaki berusia 69 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar diketuai Mohd Sukairi Abd Latif bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa.

“Sebatang pokok kelapa sawit telah menghempap motosikal menyebabkan mangsa tersepit. Bagaimanapun, mangsa disahkan maut oleh pasukan perubatan.

“Anggota bertindak memotong pokok tersebut kepada potongan kecil dan memindahkan mangsa ke tempat selamat,” katanya.

Menurutnya, mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 8.41 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mayat dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Bedah siasat akan dijalankan pada hari ini jam 2.30 petang. Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Warga emas dikhuatiri lemas

in Tragedi by

BATU PAHAT – Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai dari Jambatan Batu Pahat di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 3.51 petang tadi, Hong Chong Huat yang berusia 72 tahun dikatakan tenggelam selepas terjatuh ke dalam sungai terbabit.

Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Md Nor berkata, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat dibantu satu jentera Fire Rescue Team (FRT), satu jentera Light Fire Rescue Team (LFRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.

Menurutnya, satu utiliti Toyota Hilux dan satu bot aluminium turut membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Pihak bomba turut dibantu 10 anggota dan dua bot milik Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), empat anggota dan dua kereta polis serta empat anggota dan sebuah ambulans milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Pasukan keselamatan bertindak membuat pencarian di tepi Sungai Batu Pahat dibantu dua bot APMM di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR masih lagi dilakukan bagi mengesan warga emas tersebut.

Anggota trafik parah dirempuh motosikal lari sekatan

in Tragedi by

IPOH – [DIKEMASKINI] Seorang anggota trafik parah selepas melambung dan terseret akibat dirempuh sebuah motosikal yang cuba lari dari sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Silibin di sini hari ini.

Kejadian sekitar jam 11 pagi itu mengakibatkan Koperal Mohd Aizal Lazim, 36, dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Ipoh cedera di kepala, muka, tangan dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, ketika kejadian, anggota terbabit yang bertugas sebagai ‘stopper’ sedang menahan kenderaan bagi tujuan pemeriksaan di SJR berkenaan.

Bagaimanapun katanya, secara tiba-tiba datang sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dengan laju dari arah Bulatan Silibin bertindak mengabaikan sekatan jalan raya dilakukan.

“Penunggang berusia 35 tahun itu cuba meloloskan diri dari sekatan polis dan telah merempuh anggota terbabit dari arah belakang menyebabkan mangsa melambung dan berpusing sebelum terjatuh dan terseret sejauh hampir lima meter di atas jalan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa anggota badan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil.

Katanya, penunggang berkenaan berjaya ditahan dan semakan lanjut mendapati, lelaki itu mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan dadah selain pernah dijatuhi hukuman atas kesalahan mencuri sebelum ini.

“Lesen memandu lelaki itu juga telah tamat tempoh pada tahun lalu manakala insurans dan cukai jalan kenderaan digunakan telah tamat tempoh sejak 2017.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kanak-kanak maut tergelincir dalam tali air

in Tragedi by

KOTA BHARU – Kegirangan tiga sekawan berjalan di tepi tali air di Kampung Telaga Bata Sering, Pengkalan Chepa di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripadanya tergelincir dan terjatuh di dalam tali air tersebut pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Fakri Mazlan berkata, mangsa, Muhamad Alif Asyraf Parudin, 13, yang beralamat di Kampung Jal Besar, Tumpat di sini ditemui pada jam 10.43 pagi tadi.

“Kita menerima laporan pada jam 10.08 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian. Tiga anggota turun menyelam dan mencari mangsa dan telah menjumpai mangsa di dasar tali air tersebut.

“Operasi berjalan lancar kerana tiada arus deras. Mangsa dijumpai lebih kurang dua meter dari lokasi kejadian selepas 15 minit operasi dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk tindakan lanjut.

Pengawal keselamatan maut rempuh MPV

in Tragedi by

MELAKA TENGAH – Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan sebuah kilang di kawasan Perindustrian Tasek Utama Ayer Keroh di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Jamil Said, 59, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Durian Tunggal, Alor Gajah menghala ke Ayer Keroh.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta MPV sedang membelok ke kawasan kilang sebelum mangsa tiba-tiba merempuh bahagian sisi sebelah kiri MPV jenis Toyota Wish.

“Akibat rempuhan itu, mangsa telah jatuh ke jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya.

Bagaimanapun, Hasan Basri berkata, pemandu MPV yang merupakan seorang wanita berusia 34 tahun itu, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kedua-dua kenderaan kini ditahan dan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Hasan turut memaklumkan bahawa gambar jalan berlubang yang tular di media sosial hari ini dan dikatakan punca kemalangan maut itu berlaku adalah tidak benar.

Katanya, gambar tular itu tidak ada kaitan dengan kemalangan tersebut memandangkan lokasi kejadian dengan jalan berlubang tersebut jauh iaitu 100 meter daripada tempat kejadian.

“Jadi kita berharap masyarakat tidak menyebarkan fakta yang tidak sahih, kerana hasil siasatan kita jelas menunjukkan bahawa kemalangan itu tiada kaitan dengan jalan yang berlubang terbabit.

“Bagaimanapun, kita mengharapkan jalan berlubang tersebut dapat dibaiki dengan segera kerana ia boleh mengundang bahaya terutamanya kepada penunggang motosikal,”katanya.

Peniaga maut alat pemadam api kenderaan meletup

in Tragedi by

SUNGAI PETANI – Seorang peniaga warung makanan maut selepas alat pemadam api kenderaan yang diletakkan di hadapan rumahnya meletup dan terkena pada bahagian kaki, paha dan lengan kirinya di Bandar Puteri Jaya di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketika kejadian pada jam 1.15 tengah hari itu, mangsa, Mohamad Yusri Omar, 43, sebelum itu dikatakan sedang membaiki radio milik rakannya yang turut berada bersama mangsa.

“Bagi menambah pendapatan sampingan mangsa telah bekerja separuh masa membaiki peralatan elektronik di hadapan rumahnya. Sebelum kejadian berlaku, saksi (rakan mangsa) memberitahu, sedang duduk bersembang di hadapan rumah sambil memerhati mangsa membaiki radio yang dihantar olehnya.

“Saksi juga memberitahu pemadam api tersebut adalah untuk kegunaan di dalam kenderaan tetapi telah dikeluarkan dan berada dalam jarak tiga kaki dari tempat mereka berbual.

“Secara tiba-tiba pemadam api tersebut telah mengeluarkan asap putih menyebabkan mangsa terus mengambil untuk membuangnya tetapi (pemadam api) terus meletup” katanya dalam kenyataan di sini.

Adzli berkata, isteri mangsa yang berada di dalam rumah terus meluru keluar sebaik mendengar letupan itu dan mendapati suaminya terbaring berlumuran darah.

Katanya, isteri mangsa bersama dengan rakannya kemudian telah membawa mangsa ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini dan ketika itu mangsa masih sedarkan diri, namun 20 minit kemudian doktor bertugas memaklumkan mangsa telah meninggal dunia.

Adzli menambah, forensik polis yang menjalankan siasatan awal pada pemadam api berkenaan mendapati ada kesan potong pada alat berkenaan dan siasatan lanjut di tempat kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa akan dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar esok. – Bernama

Mayat mangsa langgar kereta api dikerumuni anjing

in Tragedi by

BEAUFORT – Mayat lelaki dipercayai dilanggar kereta api ditemui orang awam di Batu 62, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di landasan kereta api serta dikerumuni oleh beberapa ekor anjing.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.20 petang daripada seorang pemandu kereta api berusia 47 tahun.

“Pemandu terbabit mengatakan dia dimaklumkan oleh Ketua Stesen Keretapi Beaufort terdapat satu mayat ditemui di landasan kereta api dipercayai dilanggar kereta api.

“Mayat itu ditemui oleh seorang lagi pemandu kereta api jenis kecil kira-kira jam 3.30 petang ketika dalam perjalanan dari Stesen Halogilat menuju ke Beaufort untuk mengambil barang.

“Pemandu itu memaklumkan ternampak satu objek di atas landasan kereta api yang dikerumuni beberapa ekor anjing dan selepas dihampiri, objek terbabit adalah mayat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmir berkata, pemandu kereta api kecil itu kemudian menghubungi Ketua Stesen Keretapi Beaufort untuk memaklumkan kejadian itu.

“Ketua stesen kemudian memaklumkan kejadian kepada pengadu yang juga pemandu kereta api yang bertugas pada hari itu.

“Pengadu memaklumkan, pada jam 1.30 tengah hari, dia memandu kereta api dari Stesen Beaufort menuju ke Stesen Halogilat dan selepas menurunkan penumpang dia kemudian berpatah balik ke Stesen Beaufort dan tiba kira-kira jam 3 petang.

“Namun sepanjang perjalanan pergi dan balik beliau tidak mengesan sesiapa berada di landasan serta tidak menyedari pun berlaku kemalangan sehingga dimaklumkan ketua stesen,” katanya.

Azmir berkata, mangsa yang parah di bahagian leher dan dada disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa dibawa ke Hospital Beaufort untuk dibedah siasat dan kes masih dalam siasatan polis namun ketika ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

1 2 3 4 8
Kembali UTAMA