PORTAL SINARHARIAN

Category archive

Tragedi - page 3

Pekerja kilang maut tersepit mesin

in Tragedi by

IPOH – [DIKEMASKINI] Seorang pekerja maut akibat tersepit pada sebuah mesin ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di sebuah kilang pembuatan sarung tangan di Kawasan Perindustrian Bercham sini semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, Aye Soe, 35, seorang warga Myanmar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika kejadian, mangsa sedang mencuci lebihan lateks yang melekat pada acuan sarung tangan.

“Kejadian itu disedari bapa saudara mangsa juga warga Myanmar sebelum memaklumkan kepada penyelia kilang.

“Pegawai kesihatan yang hadir ke lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.

Sinar Harian dimaklumkan, kejadian itu kini dalam siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dan satu kenyataan berhubung siasatan berkenaan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Gempa bumi kuat berhampiran pantai Chile

in Tragedi by

KUALA LUMPUR – Gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter berlaku berhampiran pantai Chile pada jam 8.54 pagi tadi (waktu di Malaysia).

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini, gempa itu berlaku kira-kira 144 kilometer (km) barat laut dari Talca, Chile pada kedalaman 10 kilometer.

Gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia. – Bernama

Warga emas maut tersepit dalam kereta

in Tragedi by

KLUANG – Seorang warga emas maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang di Batu 28, Jalan Mersing-Kluang di sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam 9.56 pagi itu, kemalangan tersebut melibatkan kereta Mercedes-Benz E200 dengan sebuah Lori jenis Nissan tiga tan.

Kemalangan tersebut mengakibatkan pemandu kereta berkenaan, Lai Sin Yin, 90, tersepit di tempat duduk pemandu.

Seramai 11 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kluang dengan sebuah jentera Light Fire Rescue Team (LFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta satu unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II, Shamsul Amri Shahab berkata, setibanya di tempat kejadian pemandu dan kalendan lori, Mohd Riduan Zakaria, 29, dan Johari Ahmad, 59, sudah dikeluarkan orang awam.

“Pemandu kereta yang tersepit pula berjaya dikeluarkan dengan menggunakan rescue tools. Pemeriksaan Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan mendapati mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 11.35 pagi.

Warga emas maut terperangkap dalam lumpur

in Tragedi by

MELAKA – Seorang warga emas maut selepas dipercayai lemas akibat terperangkap dalam lumpur ketika membuat kerja-kerja semaian padi di Kampung Batang Tiga, Klebang di sini malam semalam.

Mayat mangsa, Ramli Samat, 68, temui dalam keadaan tertiarap di dalam sawah oleh ahli keluarganya yang keluar mencarinya kira-kira jam 7.40 malam selepas dia tidak pulang ke rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Penolong Penguasa Bomba Roslan Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.44 malam sebelum sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai pergi ke kawasan sawah bersama dua lagi rakannya, namun mereka pulang lebih awal selepas selesai kerja di sawah masing-masing.

“Mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah walaupun hari gelap dan disebabkan risau, ahli keluarga mencari mangsa di sawah sebelum menemuinya dalam keadaan tertiarap dengan bahagian muka terbenam dalam lumpur, ” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, setiba di lokasi kejadian ahli keluarga mangsa telah mengangkat dan memangku warga emas itu lebih awal dan pasukan bomba cuba memberi bantuan pernafasan sebelum turut dibantu oleh pasukan perubatan.

“Kita cuba membuat penyelamatan awal dengan memberi bantuan pernafasan, namun mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Mungkin juga mangsa cuba bangun selepas terjatuh, namun kita percaya faktor tanah yang lembap dan berair menyukarkannya untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Tujuh jam berpaut pelampung pukat

in Tragedi by

KOTA TINGGI – Seorang nelayan tempatan yang hilang selepas terjatuh dari bot semasa memancing di Tanjung Sedeli di sini ditemukan selamat semalam selepas berpaut pada pelampung pukat selama tujuh jam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Abdul Aziz Abdullah, 57, ditemukan terapung-apung berpaut pada pelampung itu pada jam 6 petang semalam.

“Mangsa ditemukan pada kedudukan kurang 5.1 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil. Sebelum kejadian dia turun ke laut berseorangan untuk menangkap ikan pada jam 6.40 pagi semalam.

“Pada jam 9 pagi, ketika hendak menurunkan pukat, mangsa pitam kemudian terjatuh ke laut. Keadaan laut yang bergelora menyukarkan mangsa untuk berenang ke bot sebelum hanyut mengikut arus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, APMM menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan pada jam 4.50 petang mengenai penemuan sebuah bot tanpa pengemudi pada kedudukan 3.1 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Kechil.

Beliau berkata, bertindak atas aduan, bot Kilat 16 segera diatur gerak ke lokasi kejadian dan menemui bot gentian kaca lengkap dengan peralatan menangkap ikan tanpa pengemudi.

“Kilat 16 terus melakukan pencarian sekitar bot ditemui dibantu tiga bot nelayan tempatan bagi mengesan mangsa. Mangsa kemudian ditemui terapung-apung dalam keadaan selamat sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili.

“APMM mengucapkan jutaan terima kasih kepada komuniti maritim yang turut sama membantu dalam pencarian yang dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan komuniti maritim dan bot-bot kecil agar tidak ke laut berseorangan dan sentiasa mengambil langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan selain memiliki Personal Locator Beacon (PLB).

“Selain tugas-tugas penguatkuasaan, APMM sentiasa bersiap sedia memberi perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada masyarakat atau komuniti maritim,” katanya.

Orang ramai terutama komuniti maritim yang berdepan situasi kecemasan di perairan Johor timur boleh menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili (07-8916595) atau talian kecemasan MERS 999.

Mayat berbau ditemui terduduk di dalam rumah

in Tragedi by

KUALA PILAH – Kebimbangan seorang lelaki terhadap rakannya yang tidak menjawab telefon akhirnya terungkai selepas rakannya itu ditemui meninggal dunia dalam keadaan terduduk di meja makan di rumahnya di Kampung Tengkek di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, kejadian itu disedari rakannya yang datang ke rumah mangsa sekitar jam 7 malam selepas beberapa hari dia gagal dihubungi.

Menurutnya, keadaan mayat mangsa yang juga seorang mekanik berusia 49 tahun ditemui dalam keadaan telah berbau kerana dianggarkan telah meninggal dunia lebih kurang dua hari.

“Sebaik tiba di rumah rakannya itu, dia mendapati kediaman tersebut berkunci dan panggilannya turut tidak dijawab sebelum terhidu bau busuk di dalam rumah.

“Pihak polis terpaksa memecah masuk kediamannya dan menemui seorang lelaki berseluar jeans, tidak berbaju telah meninggal dunia di bahagian dapur dalam keadaan terduduk di meja makan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Amran berkata, pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati tidak terdapat unsur-unsur perbuatan jenayah selain barang berharga miliknya seperti duit dan dokumen penting juga berada di tempat kejadian,” katanya.

Amran berkata, mangsa sudah lima tahun tinggal bersendirian di rumah tersebut dan bekerja sebagai mekanik motosikal di bengkel yang terletak di sebelah rumahnya.

“Dia merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan masih belum berkahwin.

“Berdasarkan siasatan awal mangsa dipercayai mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung tetapi didakwa tidak membuat rawatan lanjut di hospital sebaliknya hanya membeli ubat di kedai dan farmasi,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan proses bedah siasat akan dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Maut jatuh gaung cari pokok hiasan

in Tragedi by

BALING – Seorang lelaki maut dipercayai akibat terjatuh ketika sedang mencari pokok paku aji iaitu sejenis pohon hiasan di Gunung Gua Sireh di sini kira-kira jam 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa, Amir Hakimi Md Ali, 22, dari Kampung Padang Che Mas ditemui tidak sedarkan diri di kaki gunung terbabit.

Menurutnya, mangsa dilaporkan ke lokasi kejadian bersama seorang rakan dikenali sebagai Noh Othman, 32, bagi mencari pokok tersebut di sekitar kawasan gunung pada jam 10 pagi.

“Mangsa bagaimanapun dilaporkan terjatuh pada ketinggian kira-kira 100 meter dari lokasi beliau berada,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Mayat dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Punca kematian bagaimanapun akan dimaklumkan selepas laporan bedah siasat diperolehi,” katanya.

Difahamkan, aktiviti mencari pokok paku aji yang dijadikan hiasan landskap telah lama menjadi sumber pendapatan penduduk setempat.

Pokok berkenaan mempunyai nilai komersial tinggi serta menjanjikan pendapatan lumayan.

Empat nelayan dikhuatiri hilang ditemui berpaut pada bot

in Tragedi by

BESUT – Empat nelayan warga Myanmar yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka dipukul ribut awal pagi tadi, ditemukan selamat dalam keadaan berpaut pada bot yang hampir tenggelam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, kesemua mereka ditemukan selamat dalam sebuah bot nelayan tempatan pada jam 3.48 petang tadi di kawasan perairan Pulau Susu Dara di sini.

“Bot berkenaan secara kebetulan melalui lokasi kejadian dan bertindak menyelamatkan mangsa yang ketika itu sedang berpaut pada bot yang hampir tenggelam.

“Semua mangsa dibawa balik ke Pangkalan Maritim Wilayah Timur dan telah dilakukan proses pengecaman oleh pemilik bot.

“Kesemua mangsa berusia lingkungan 30-an dan 40-an kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan jam 5 petang tadi.

Azrol Anuar turut menasihatkan orang awam terutama nelayan supaya memeriksa keadaan cuaca sebelum turun ke laut.

“Kita sarankan supaya mereka yang terdedah kepada risiko ini memeriksa dahulu keadaan cuaca sebelum ke laut bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bot karam: Empat nelayan dikhuatiri hilang

Peniaga maut digilis lori

in Tragedi by

KUALA PILAH – Seorang peniaga maut digilis lori selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Kilometer 5 Jalan Kuala Pilah-Kuala Jempol (Jalan Sawah Lebar-Rembang Panas) di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa, Abdul Razak Mohamad, 56, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 telah bergesel dengan sebuah lori ketika cuba memotong di sebelah kanan.

“Ketika kejadian mangsa dipercayai dari Jengka, Pahang menghala ke Kuala Pilah.

“Namun sebaik sampai di tempat kejadian, motosikalnya telah bergesel dengan bahagian sebelah kanan lori menyebabkannya terjatuh sebelum digilis oleh lori terbabit,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, mangsa mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori berusia 44 tahun bagaimanapun tidak alami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Warga emas ditemukan mati dalam bilik air

in Tragedi by

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas ditemukan sudah meninggal dunia di dalam tandas dalam sebuah rumah di Taman Pelangi di sini hari ini.

Difahamkan mangsa, Er Chiang Seng, 77, tinggal sendirian di rumah dua tingkat tersebut kerana keluarganya berada di Singapura.

Kejadian itu disedari jiran mangsa yang mendapati pintu belakang rumah terbuka dan melihat warga emas tersebut terbaring dalam tandas.

Jiran tersebut kemudian menghubungi pihak polis dan bomba pada jam 10.44 pagi untuk mendapatkan bantuan.

Seramai 11 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Larkin dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke rumah warga emas itu.

Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II, Nordatul Badrol Abd Rahman berkata, pihaknya mendapati lelaki warga emas tersebut terbaring tidak sedarkan diri dalam tandas.

“Pemeriksaan yang dilakukan oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) mendapati warga emas itu sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi berkenaan tamat pada jam 11.29 pagi.

1 2 3 4 5 8
Kembali UTAMA